About Me

1:)Nurul Nazuha 2:)Nurul Adila 3:)Najihah 4:)Nur Reezwana 5:)Atiqah Najwa 6:)Siti Nur Adlina 7:)Eliene Anissa
^selamat datang^

Monday 26 September 2011

CARA CARA MEMANFAATKAN MASA LAPANG


Ramai yang beranggapan bahawa masa itu emas. Tanggapan tersebut sememangnya bertepatan dengan nilai masa itu sendiri. Ini kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Oleh itu, seseorang itu seharusnya bijak membahagikan masa mereka. Kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada cara memanfaatkan masa yang terluang. Tuhan telah memberikan kita masa selama 24 jam sehari dan diri kitalah yang diberi tanggungjawab untuk memperuntukkan masa tersebut dengan aktiviti yang berfaedah.
Bagi para remaja yang masih menuntut di bangku persekolahan, adalah wajar sekiranya mereka memanfaatkan masa lapang yang mereka miliki dengan mengulangkaji pelajaran. Cara ini dapat mempercepatkan proses pembelajaran di kelas. Ini kerana, latihan latih tubi yang berterusan sahaja tidak mampu untuk mengekalkan ingatan pelajar terhadap pelajaran yang diajar. Sebaliknya, dengan ulangkaji yang berterusan, seseorang pelajar itu akan sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan sebenar.
Selain mengulangkaji pelajaran, seseorang pelajar juga perlu untuk melakukan aktiviti riadah dan juga senaman agar tubuh mereka tidak menjadi lesu dan tidak bermaya. Aktiviti riadah ringan seperti berjoging, bermain badminton dan bermain bola sepak sahaja sudah mencukupi untuk meningkatkan metabolisma seseorang agar kekal sihat dan cergas sepanjang masa. Selain itu, aktiviti yang dilakukan juga dapat menyihatkan tubuh badan dan membuatkan tubuh badan sentiasa bertenaga dalam melalui hari-hari yang mendatang.
Selain mengulang kaji pelajaran dan melakukan aktiviti riadah, melakukan aktiviti berpersatuan juga adalah perlu untuk mengisi masa lapang yang terluang. Persatuan-persatuan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Bahasa Malaysia, Kadet Bomba Sekolah, dan juga Kelab Alam Sekitar merupakan antara persatuan yang wajar disertai oleh para pelajar bagi mengisi masa yang terluang dalam kehidupan seharian mereka. Dengan adanya penglibatan para pelajar dalam aktiviti berpersatuan seperti ini, maka tidaklah mereka mempunyai masa terluang yang banyak sehinggakan mereka mengisi masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti merokok, melepak, menagih dadah, dan banyak lagi.
Sebagai kesimpulan, memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah amatlah perlu terutama dalam kalangan anak-anak remaja yang masih mengalami zaman peralihan sehinggakan mereka mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang tidak sihat dewasa ini. Oleh itu, semua pihak terutama pihak ibu bapa dan guru seharusnya memberi perhatian yang mencukupi bagi golongan remaja yang masih memerlukan perhatian, kasihsayang, bimbingan dan juga sokongan dari ibu bapa demi menentukan hala tuju hidup mereka.

NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)

No comments:

Post a Comment