About Me

1:)Nurul Nazuha 2:)Nurul Adila 3:)Najihah 4:)Nur Reezwana 5:)Atiqah Najwa 6:)Siti Nur Adlina 7:)Eliene Anissa
^selamat datang^

Monday 10 October 2011

PANTUN

Petang hari pergi ke pekan,
Pulang membawa sebungkus laksa,
Hidup muhibahperlu diamalkan,
Di negara malaysia berbilang bangsa,

Cantik bergugus buah papaya,
Masak dipetik satu, 
Walaupun ber bilang bangsa negara,
Kerana muhibah hidup bersatu.

HASIL NUKILAN: NURUL NAZUHA BT MAHMUD

Puisi Untuk Guru

A-B-c dan alif ba-ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat

Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh lapan
Ditubi-tubi sampai dapat
Bila dapat maju ke depan

Lima enam tujuh delapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

Betik masak lebat di pangkal
Penuh kapal bawa belayar
Baik budi panjang akal
Hormat guru tekun belajar

Manis rasanya buah delima
Masak sebiji di celah daun
Budi guru saya terima
Jadi kenangan bertahun-tahun

Pohon palma tegak berdiri
Ditanam mari tepi bangunan
Ilmu di dunia terus dicari
Jasa guru dilupa jangan

Waktu malam mencincang halia
Masak cencaru berserai wangi
Muris silam patuh setia
Hormat guru serta disayangi

Pergi memburu ke hutan lama
Dapat rusa di waktu pagi
Kalau ilmu ku dapat sama
Usaha guru ku sanjung tinggi

Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak 
    

Karangan Dialog

( Siva sedang asyik membaca sebuah buku cerita di perpustakaan sekolah )
Azman :  Tahniah,Siva,kerana kamu berjaya dalam pertandingan syarahan itu.
Siva    :  Terima kasih. Saya berharap supaya kejayaan ini akan menaikkan semangat pelajar-pelajar bukan
                Melayu yang lain untuk mempelajari Bahasa Melayu.
Azman :  Saya kagum melihat kamu bersyarah pada hari ini. Setiap perkataan yang awak ucapkan jelas dan
   lancar. Bagaimanakah  cara kamu mempelajari Bahasa Melayu ?
Siva    :  Keluarga saya menggalakkan saya membaca buku-buku Bahasa Melayu yang bermutu .Di 
   samping itu,saya mempelajari  tatabahasa dengan baik. Saya selalu membuka kamus  untuk 
   mempelajari ejaan dan makna kata-kata yang saya baca. Saya melatih diri saya menggunakan
   bahasa baku apabila membaca atau bercakap
Azman :  Kalau begitu ,tidak hairanlah saya apabila kamu berjaya mengalahkan saya dan beberapa pelajar
                Melayu yang lain dalam pertandingan itu. Saya malu,Siva.
Siva    :  Mengapa ?
Azman :  Selama ini saya menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah kerana itu  adalah
                bahasa ibunda saya. Rupa-rupanya saya silap.
Siva    :  Baguslah, Azman,kalau kamu sudah sedar. Sama-samalah kita belajar menguasai bahasa
                kebangsaan negara kita
Azman :  Ya,baiklah ,Siva...            
Tajuk : Kawan kamu telah kehilangan duit. Dia suka menuduh orang lain tanpa usul periksa. Bagaimanakah cara kamu menasihatinya ? Tuliskan perbualan di antara kamu berdua.
( Kamu dan Azma berada di sudut kantin sekolah )
Malim  :  Mengapa kamu bermuram saja, Azma ? Apakah kamu ada masalah ?
Azma   :  Duit saya sebanyak sepuluh ringgit telah hilang Malim.
Malim :  Macam mana boleh hilang ?
Azma   :  Saya letakkan dalam beg. Balik dari rehat sahaja duit dah tak ada. Saya syak Tahir yang
                curi,sebab waktu rehat dia tak keluar.
Malim :  Bukankah cikgu selalu menasihati agar duit jangan ditinggalkan dalam beg.  Sekarang sudah 
                hilang, mengapa pula menuduh tanpa usul periksa ?
Azma   :  Jika bukan Tahir, siapa lagi ? Saya pasti memang Tahir ! Dia dengkikan saya  !
Malim :  Jangan sesekali serkap jarang. Jika bukan dia, bagaimana kita mahu tutup  muka kita ? Baik kita
                jumpa Cikgu Zaidi. Guru disiplin itu boleh membantu kita.
Azma  :  Betul juga kata kamu, Malim. Saya berasa bangga mendapat kawan   macam  kamu.
Soalan : Kamu berpeluang menemuramah seorang bapa kepada sepasang anak kembar yang telah  berjaya menjadi doktor perubatan , semasa majlis penyampaian ijazah di Universiti Malaya. Cuba buat satu temuramah itu dengan bertanyakan hal-hal yang berkaitan.
( Setelah memperkenalkan diri kamu , maka kamu mengemukakan soalan-soalan kepada Encik Karim )
Murid            : Encik, sebenarnya bagaimana encik mengasuh kedua-dua anak kembar encik Faizul dan
               Faizal hingga berjaya menjadi doktor ?
En. Karim       : Oh ! Saya pun tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya. Hanya saya kira Tuhan
                            merestui kami sekeluarga.
Murid            : Boleh saya tahu bagaimana anak-anak encik ini belajar ?
En. Karim       : Mmmmmmm, kalau fasal belajar , mereka memang sungguh berusaha. Hampir sepanjang
                            waktu mereka asyik dengan buku sahaja. Kalau menonton televisyen itu jarang sekali.
                            Kerap kali kalau menonton pun mereka menonton siaran berita sahaja.
Murid            : Di mana mereka bersekolah ?
En. Karim       : Kesemuanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Darau. Kemudian bersekolah menengah
                            di Sek. Men. Seri Nering, Jerteh. Semuanya mendapat pangkat satu di peringkat Sijil
                            Pelajaran Malaysia. Semasa itulah mereka mendapat tawaran dan meneruskan pelajaran
                            di Tingkatan Enam iaitu di Sekolah Tinggi, Jerteh. Apabila mereka lulus mereka belajar di
                            Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Nah ! Sekarang mereka sudah lulus dan menjadi doktor.
Murid            : Apakah perasaan encik sekarang ?
En. Karim       : Sudah tentu gembira sekali. Kami sekeluarga bersyukur di atas kejayaan gemilang itu.
Murid            : Baiklah encik , saya berterima kasih kerana sudi melapangkan masa untuk ditemubual.
En. Karim       : Terima kasih kembali.
                       ( Berjabat tangan dengan murid )

Friday 7 October 2011

PANTUN AGAMA

Daun tetap di atas dulang,
  anak udang mati dituba,
dalam kitab ada terlarang,
  perbuatan haram jgn dicuba.

Anak ayak turun sembilan,
  mati seeokr tinggal lapan,
Duduk berdoa kepada Tuhan,
  Minta jalan kebenaran.



HASIL NUKILAN:SITI NUR ADLINA BT. MOHAMAD NOOR

Monday 3 October 2011

CARA-CARA MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR


Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?
            Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.
            Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.
            Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.
            Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.
            Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.
            Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibubapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibubapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.
            Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.


NUKILAN :NURUL ADILA BT. YUSJIZAM

Gejala Ponteng Dan Lepak

Sejak akhir-akhir ini, gejala ponteng dan lepak semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar dan membimbangkan masyarakat. Pelajar merupakan modal insan dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Jadi isu ini haruslah diberi perhatian dan langkah-langkah sewajarnya hendaklah dilaksanakan dengan segera sebelum menjadi lebih parah dan tidak dapat diselamatkan lagi ibarat “nasi sudah menjadi bubur.”

Terdapat pelbagai punca gejala tidak sihat ini berlaku dan salah satunya pelajar kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Kesibukan ibu bapa di tempat kerja untuk mengumpul wang demi masa depan anak mereka “memakan diri ‘ sendiri dan hanya tinggal impian semata-mata. Mereka tidak mempedulikan diri anak-anak mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang insan yang menjaga mereka semenjak kecil. Akhirnya apabila pelajar berasa bosan dengan kehidupan keluarga, mereka akan mula mencari rakan-rakan yang tidak berakhlak mulia yang suka ponteng dan lepak. Kadang-kala sikap ibu bapa yang suka menyalahkan anak mereka membuatkan jiwa pelajar memberontak dan bertukar menjadi seorang yang suka ponteng dan lepak. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin hendaklah menasihati dan menjaga perasaan pelajar dengan sebaiknya.

Pengaruh rakan adalah punca utama kepada gejala ponteng dan lepak. Pelajar tidak pandai untuk memilih rakan yang baik dan buruk. Apabila tersalah pilih rakan, agak susah untuk pelajar kembali kepada sikap asal kerana sikap buruk rakan akan secara perlahan-lahan meresap dalam jiwa pelajar dan menjadi sebahagian daripada diri pelajar.Pelajar haruslah tahu membezakan rakan yang membawa kepada jalan yang benar atau salah. Apabila berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan lepak, seseorang pelajar itu pada mulanya hanya mahu mencuba tetapi lama kelamaan akan menjadi tabiat dan tidak takut untuk melakukannya.

Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala ponteng dan lepak. Ada juga sekolah yang tidak mempedulikan gejala yang semakin berleluasa ini walaupun telah diberi amaran oleh pihak kementerian agar segera membendung gejala ini daripada terus merebak dalam kalangan pelajar-pelajar yang lain. Apabila nama sekolah tercemar barulah mereka sedar betapa pentingnya menangani gejala ponteng dan lepak ini.Walaupun begitu , terdapat juga segelintir dalam kalangan ibu bapa yang “menyerang” pihak sekolah kerana telah bertindak tegas dengan mengenakan hukuman terhadap anak mereka yang didapati bersalah dan mereka “seperti ular dikutik ekor” disebabkan ketegasan pihak sekolah menghukum terhadap anak mereka.

Selain itu, sikap masyarakat juga menjadi salah satu punca kegiatan pontenga dan lepak semakin berleluasa. Masyarakat bertindak “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” kerana enggan “menjaga tepi kain orang”. Masyarakat tidak melaporkan kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa apabila melihat pelajar-pelajar ponteng dan lepak Mereka sepatutnya menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak sekolah dengan terus melaporkan sebarang aktiviti pelajar yang mencurigakan.Keprihatinan dan kerjasama mereka amatlah penting bagi menangani gejala ini dengan membantu pihak berkuasa memusnahkan tempat-tempat yang menjadi “sarang” untuk pelajar-pelajar melepak dan ponteng.Sesetengah masyarakat enggan bekerjasama dan lebih suka mendiamkan diri kerana tidak mahu menyusahkan diri sendiri untuk membantu menangani gejala tersebut. Sebagai masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, mereka perlulah bersama mencegah gejala tersebut demi kebaikan dan kepentingan pelajar kerana”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah kesedaran dan motivasi kepada semua pelajar di sekolah , antaranya sempena Minggu Disiplin dan Minggu Penghayatan Islam. Penceramah tersebut mestilah orang yang berpengalaman dan dapat menarik minat pelajar secara berkesan seperti penceramah daripada pihak berkuasa iaitu polis.Melalui ceramah kesedaran tersebut, diharap para pelajar menyedari akan keburukan ponteng dan lepak yang boleh mengundang kepada gejala sosial yang lain.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk membimbing anak-anak kejalan yang betul .Mereka hendaklah sentiasa menghadirkan diri ke sekolah untuk bersama-sama berbincang akan sebarang masalah yang timbul berhubung anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengambil tahu akan perkembangan anak-anak mereka baik dalam aspek pendidikan mahupun pergaulan seharian anak-anak. Hal ini pasti akan menghindarkan anak-anak mereka daripada terjebak dalam gejala ponteng dan lepak.

Intihanya, semua pihak perlu bekerjasama dan saling membantu dalam usaha untuk membanteras gejala ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar. Setiap pelajar harus bijak membezakan yang mana kawan ataupun lawan agar mereka tidak terpengaruh dengan gejala yang buruk ini. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” , itulah peribahasa yang perlu diamalkan oleh semua pihak dalam menangani gejala negatif daripada terus menjadi “duri dalam daging” yang akan merosakkan generasi akan datang yang bakal menjadi pemimpin negara nanti.

NUKILAN : NURUL ADILA BT. YUSJIZAM

GEJALA PEMBUANGAN BAYI

Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka alpa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, di tepi longkang, dan lain-lain tempat tanpa ada perasaan perikemanusiaan.
Punca yang paling jelas berlakunya gejala pembuangan bayi ini adalah kerana berlakunya anak luar nikah. Tatkala ingin menyembunyikan perbuatan dusta itu mereka sanggup membuang bayi dengan harapan diberi peluang menjalani kehidupan baru. Hal ini turut diakibatkan oleh mereka tidak sanggup diejek dan dicaci oleh masyarakat setempat.

Di samping itu sikap masyarakat. Yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh, dan mengabaikan isu itu turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Mereka bersikap demikian kerana menganggap isu ini adalah sesuatu yang memalukan.

Terdapat juga, ahli masyarakat yang hanya menuding jari terhadap golongan remaja. Pada pandangan mereka inilah pencetus berlakunya pembuangan bayi kerana pergaulan bebas. Lebih-lebih lagi remaja yang suka melepak dan membuang masa dengan sia-sia dianggap sebagai sampah masyarakat. Sebagai masyarakat, kita sepatutnya memberi teguran membina kepada remaja tersebut. Selain itu kesilapan yang paling nyata ialah sikap wanita dan lelaki yang melakukan perzinaan sesuka hati. Mereka tergolong dalam kalangan yang kurang pendidikan agamanya. Selepas itu, masing-masing hilang rasa tanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan hingga sanggup mengorbankan anak.

Hukuman yang kurang berat juga menggalakkan kes-kes pembuangan bayi ini. Ibu bapa mangsa bayi yang dibuang tidak dikesan bersungguh-sungguh sehingga masalah penjagaan bayi diserapkan bulat-bulat kepada pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hukuman yang dikenakan hanya penjara dan denda yang mampu dllaksanakan oleh pesalah.

Galakan daripada badan tertentu yang sanggup memelihara mangsa ini juga menggalakkan ibu bapa membuang anak-anak mereka. Mereka berpendapat terdapat golongan yang menyayangi anak mereka dan memelihara anak mereka dengan baik. Kebanyakan ibu bapa yang menyayangi anak-anak mereka berperasaan demikian.

Ekoran itu, ibu bapalah watak utama dalam mencorakkan sahsiah anak-anak mereka. Masalah pembuangan bayi ini pasti dapat ditangkis sekiranya wujud kesedaran dan rasa tanggungjawab dan masyarakat dengan mengambil tahu serta cuba membanterasnya seterusnya wujudnya masyarakat yang bersifat penyayang.


NUKILAN : NURUL ADILA BT. YUSJIZAM

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN ALAM SEKITAR

 Bumi kini semakin tercemar akibat pencemaran alam sekitar. Dunia kini sedang sibuk memikirkan langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.Contoh pencemaran ialah pencemaran udara,air dan tanah.
        
        Antara punca pencemaran alam sekitar ialah pelepasan asap kilang yang mengandungi gas-gas yang berbahaya.Terdapat kilang-kilang yang tidak memasang alat penapis dan menyebabkan pencemaran udara.Pelepasan asap kenderaan yang menggunakan plumbum juga menyebabkan pencemaran udara.

        Selain itu,pembuangan sampah sarap oleh manusia yang tidak bertanggungjawab dan pembuangan sisa-sisa toksik daripada kilang dan disalurkan ke sungai menyebabkan sungai tercemar dan hidupan akuatik mati.Pertumpahan minyak yang berleluasa di serata dunia menyebabkan laut tercemar dan hasil tangkapan hidupan laut menurun.
        
        Seterusnya,manusia-manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap di merata-rata tempat menyebabkan pencemaran tanah.Sikap tidak bertanggungjawab manusia ini menyebabkan berlakunya banjir kilat.

        Penggunaan baja kimia yang meningkat menyebabkan pencemaran.Pembakaran terbuka oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab menambah pencemaran dunia ketika ini.Pengaliran bahan kimia ke dalam laut dan sungai menyebabkan kurangnya bekalan air bersih kepada manusia dan haiwan.

        Intihanya,kita hendaklah menjaga bumi ini sebaik-baiknya dan di bumi ini jugalah bakal didiami oleh generasi yang akan datang.


NUKILAN : NURUL ADILA BT. YUSJIZAM

KARANGAN ISU PENCEMARAN ALAM

   Sejak kebelakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata ingin mengejar kemajuan? Di manakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang positif perlu dilakukan.
   Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Perkara yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan penghawa dingin merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat bahaya kepada masyarakat di Malaysia. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dicipta oleh Tuhan.

   Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang alam sekitar yang menyeluruh. Hal ini demikian, boleh membantu menjaga alam sekitar kita dengan lebih efektif. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang-kilang yang telah dibina oleh kerajaan mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Di sini saya memberi contoh, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun laut secara terbuka. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diketatkan lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

   Dalam pada itu, kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu menjaga alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan di dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproseskan menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka mahupun kebersihan alam sekitar.

   Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat ditiup kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit demi sedikit masalah dan hal ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar kepentingan alam sekitar.

   Tuntasnya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya meletakkan masalah ini diatas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Sinomin dengan slogan negara  Negara Bersih, Rakyat Sihat 


NUKILAN : NURUL ADILA BT. YUSJIZAM

PANTUN KERJA


Peti dibawa dari Inderagiri,
Kapal belayar urusan raja;
Kualiti tertanam dalam diri,
Kualiti produk, kualiti kerja."

"Kapal belayar urusan raja,
Ombak melanda bukan cabaran;
Kualiti produk, kualiti kerja,
Kepuasan pelanggan diutamakan."

"Ombak melanda bukan cabaran,
Destinasi tuju tidak terhalang;
Kepuasan pelanggan diutamakan,
Prestasi organisasi jadi cemerlang."

"Destinasi tuju tidak terhalang,
Pulau jauh dipenuhi hutan;
Prestasi organisasi jadi cemerlang,
Nama muncul jadi sebutan."

"Pulau jauh dipenuhi hutan,
Angin keras terjah kapal;
Nama muncul jadi sebutan,
Kualiti insan menjadi modal."

"Angin keras terjah kapal,
Cuaca terang mentari terik;
Kualiti insan menjadi modal,
Prasarana tersedia pasti terbaik."

"Cuaca terang mentarik terik,
Udara panas selubungi diri;
Prasarana tersedia pasti terbaik,
Kerja selesa ikhlas hati."
"Udara panas selubungi diri,
Hari semakin menuju senja;
Kerja selesa ikhlas hati,
Dapat berkat ganda pahala." 
"Di Bandar Nilai tergilap permata,
Terbang tinggi si burung helang;
Khidmat kualiti keutamaan kita,
Organisasi terbilang dan cemerlang."


"Mengisi padi di dalam guni,
Kelapa tua diambil isinya;
5 S menjadi amalan murni,
Bersamalah kita menghayatinya."


"Bercabang tiga Gunung Daik,
Nampak jelas dari dekat;
Kualiti kerja sentiasa lebih baik,
Moga hidup mendapat berkat."

"Buah tinggi diambil galah,
Sudah luruh diisi dalam guni;
Kualiti peribadi hendaklah serlah,
Itu penting refleksi organisasi."


NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)

PANTUN KLASIK

Angin teluk menyisir pantai 
    Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai 
    Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik           
   Hendak menjerat kancil dan rusa       
Bergotong-royong amalan yang baik
   Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
    Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi                 
   Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da     
    Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
    Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir 
    Dibawa orang dari hulu 
Sebarang kerja hendak difikir       
   Supaya jangan mendapat malu

Kemumu di tengah pekan       
    Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan 
   Bagai pohon tidak berbuah


Tumbuh melata si pokok tebu
   Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu 
   Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap           
   Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap           
   Jikalau silap awak yang bencana

Hendak belayar ke Teluk Betong         
   Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung           
   Bulat manusia kerana muafakat 

 Pakai baju warna biru         
    Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
    Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
    Ditiup angin dari Selatan 
Layar dikembang kemudi dipaut
    Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu 
   Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
   Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
   Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar         
  Tentu kita akan berjaya 

Jangan pergi mandi di lombong       
   Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
   Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
    Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
    Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti 
   Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati         
   Kerja yang susah menjadi senang

Asam kandis mari dihiris         
    Manis sekali rasa isinya 
Dilihat manis dipandang manis
    Lebih manis hati budinya

Kayu bakar dibuat arang     
   Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
    Cermin muka lihat sendiri 

Selasih tumbuh di tepi telaga 
    Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga 
    Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu       
    Takut kena gigitan pacat 
 Kalau kita selalu bersatu         
    Apa kerja mudah dibuat 

Bandar baru Seberang Perai   
    Gunung Daik bercabang tiga
 Hancur badan tulang berkecai 
    Budi yang baik dikenang juga

Encik Dollah pergi ka Jambi
    Pergi pagi kembali petang
Kalau Tuhan hendak membagi 
   Pintu berkancing rezeki datang

Orang haji dari Jeddah             
    Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah 
    Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua         
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua         
    Ajaran baik jangan diubah

 Terang bulan di malam sepi           
Cahya memancar kepangkal kelapa
 Hidup di dunia buatlah bakti     
    Kepada ibu dan juga bapa   

Kapal kecil jangan dibelok     
    Kalau dibelok patah tiangnya
 Budak kecil jangan di peluk     
    Kalau dipeluk patah tulangnya 

Asal kapas menjadi benang 
    Dari benang dibuat kain         
Barang yang lepas jangan dikenang   
    Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail     
    Dapat seekor ikan tenggiri
 Jangan amalkan sikap bakhil 
    Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
    Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu     
    Rosak hati kerana kasih
 
Tingkap papan kayu bersegi     
   Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi 
   Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja 
    Suka berjalan di atas titi 
Orang yang malas hendak bekerja       
    Pasti  menyesal satu hari nanti

Bintang tujuh sinar berseri           
    Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati         
    Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu 
    Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu     
     Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
   Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita             
   Jadi kebanggaan zaman berzaman

Pergi berburu sampai ke sempadan
     Dapat Kancil badan berjalur
 Biar carik baju di badan         
     Asalkan hati bersih dan jujur

 Pulau Pandan jauh ke tengah 
     Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
    Budi yang baik di kenang juga
 
Ramai orang membeli jamu         
    Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
    Ilmu dicari penyuluh hidup

 Apa guna berkain batik         
    Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik     
    Kalau tidak dengan budinya 

Berakit-rakit ke hulu             
    Berenang-renang ke tepian 
 Bersakit-sakit dahulu             
    Bersenang-senang kemudian

  Buah cempedak diluar pagar     
    Ambil galah tolong jolokkan
 Saya budak baru belajar         
   Kalau salah tolong tunjukkan

Pisang emas dibawa belayar 
    Masak sebiji di atas peti
  Hutang emas boleh dibayar     
    Hutang budi dibawa mati

Dalam semak ada duri         
    Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi         
    Macam anjing dengan bayang

 Baik-baik mengirai padi         
    Takut mercik ke muka orang
 Biar pandai menjaga diri         
    Takut nanti diejek orang 

Ke hulu membuat pagar
   Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar     
    Supaya jangan sesal kemudian

Mari kita tanam halia         
    Ambil sedikit buat juadah
Usia muda jangan disia     
    Nanti tua sesal tak sudah

Padi muda jangan dilurut 
    Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut 
    Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup         
   Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup           
   Barulah kekal dihormati orang

Orang Daik memacu kuda 
    Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada     
    Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan             
   Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
   Ibarat pokok tidak berbuah

Kalau kita menebang jati           
    Biar serpih tumbangnya jangan
Kalau kita mencari ganti 
    Biar lebih kurang jangan

Pinang muda dibelah dua 
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua 
   Ajaran baik jangan diubah 

Pantai Mersing kuala Johor               
   Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur       
  Negara kita aman dan makmur

Orang tua patut disegani     
    Boleh mendapat ajarnasihat
Ular yang bisa tidak begini 
    Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
    Ambil buluh lalu diikat 
Ilmu dicari tak akan rugi 
        Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah                   
   Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah           
   Rezeki segenggam jadi sekarung

Patah gading serpih tanduk
    Mari diletak di atas papan
Jika tahu ganja itu mabuk
    Buat apakah ia dimakan

Anak rusa masuk ke taman       
     Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
     Kalau tua jadikan guru
       
Berakit ke hulu dengan bergalah
    Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah
   Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki 
     Mati terkena jerat sembat         
Orang yang muda kita sanjungi
     Orang yang tua kita hormat

Sorong papan tarik papan
     Buah keranji dalam perahu
Suruh makan awak makan           
    Suruh mengaji awak tak mahu

Adik ke kedai membeli halia
     Emak memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
    Baik hati berbudi bahasa



NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)
Amalan berjimat cermat dan menabung.

............Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasaberjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.


NUKILAN : NURUL ADILA BT. YUSJIZAM

PANTUN JENAKA


Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Kat pasaraya tak ada hutang hutang
Kalau nak, bayar, Cash On Delivery
Kalau ada jarum yang patah
Jangan di simpan di dalam peti
Kesian betul dengan kau ni
Jarum patah pun kau simpan dalam peti.
Dua tiga kucing berlari
Mana nak sama si kucing belang
Kalau kau berani kejarlah kucing tu
Mesti kau kena cakar sampai berbelang-belang..
Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Kain Pak Malau, Mak Limah yang lipat
Kain aku, si pencuri yang sapu
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Kalau padi tu belumlah masak
Janganlah tuai, taklah layu-layuan. .
Limau purut masak di dahan
Batang selasih condong uratnya
Limau purut tak boleh makan
Nanti sakit perut kenala cari ubat.
Sorong papan tarik padan
Buah keranji dalam perahu
Tolonglah jangan makan buah keranji tu
Nanti badan kau orang berbau
Hayya Cik Siti, perempuan banyak muda
Ana banyak takut jalan tutup mata
Memanglah takut kalau jalan tutup mata
Sebab takut terpijak lubang Indah Water
Encik Baba jatuh dalam parit
Cik Aminah ketawa jerit jerit
Sampai hati Cik Aminah ketawakan saya jerit-jerit
Mentang-mentanglah saya jatuh dalam parit
Buai laju laju
Sampai pokok sena
Woii, jangan buai laju-laju
Nanti kang tercampak kat pokok sena
Api terang banyak kelkatu
Masuk ke kamar bersesak-sesak
Alangkah geli rasa hatiku
Melihat nenek bergincu berbedak
Singapura dilanggar todak
Kapal karam di Tanjung Peringin
Orang tua beristerikan budak
Macam beruk mendapat cermin
Pulau Hokkaido jauh ketengah
Gunung Fuji bercabang tiga
Hancur Raksaser dikandung tanah
Ultraman yg baik dikenang jua
Dua tiga Raksaser berlari
Maner nak samer Raksaser Kero
Dua tiga Ultraman boleh kucari
Maner nak samer Ultraman Taro.
Kajang Ultraman kajang berlipat
Kajang Raksaser mengkuang layu
Kalau Ultraman Ace tak cukup kuat
Ultraman Neos datang membantu.

NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)

MASALAH PENGANGKUTAN AWAM DI NEGARA KITA


..Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.

NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)
.

AMALAN GAYA HIDUP SIHAT


Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
.
..........
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu bentuk pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, orang ramai lebih suka mengambil makanan yang bersifat mudah seperti mengamalkan pengambilan makanan ringan ataupun makanan segera. Tidak kurang juga masyarakan kita hari ini yang lupa kesan pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi. Hal ini boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi ataupun kencing manis yang juga menjadi punca kematian tertinggi di negara kita. Orang ramai juga mesti menjauhi amalan buruk seperti merokok atau meminum arak kerana kesannya amat membahayakan. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai kehidupan yang ceria kerana semua nutrien yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang seimbang.
.
..........
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti seperti bersukan, berekreasi, berjalan atau berlari bersendirian atau bersama-sama keluarga ketika hujung minggu. Aktiviti senaman seperti ini diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka tinggi. Mereka yang gemar bersukan biasanya memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas berbanding dengan orang yang jarang bersukan. Jelasnya, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
.
..........
Orang ramai juga perlu mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak diharung lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa masyarakat dalam aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus diutamakan agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.
.
..........Pada masa yang sama selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, masyarakat juga perlu menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, orang ramai digalakkan mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, orang ramai akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit serta membentuk kehidupan yang sihat.
.
..........
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Masyarakat digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama rakan atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
...........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Kepada mereka yang menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan seseorang pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
...........Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Gaya hidup sihat hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat mengamalkan semua aspek kehidupan berlandaskan ciri-ciri manusia sihat. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)
....

SEMANGAT KEJIRANAN

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

.............Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

.............Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

.............Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

.............Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

.............Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

............Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?



NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)

PENDERAAN KANAK KANAK

.Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.


............Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.


............Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.


............Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


............Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.


............Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.


............Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.


............Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

............Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.



NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)

FAKTOR MENGGALAKKAN PELANCONGAN DI MALAYSIA


.Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

NUKILAN : NAJIHAHZULFIKRI :)
.