About Me

1:)Nurul Nazuha 2:)Nurul Adila 3:)Najihah 4:)Nur Reezwana 5:)Atiqah Najwa 6:)Siti Nur Adlina 7:)Eliene Anissa
^selamat datang^

Friday 20 May 2011

 
sebab pelajar ponteng sekolah
 
Beberapa hari kebelakangan ini, orang ramai mula heboh memperkatakan mengenai fenomena ponteng sekolah di kalangan pelajar. Isu ini mula mendapat tempat di media massa apabila Pengarah Pelajaran sebuah negeri membuat kenyataan bahawa 50% pelajar di sebuah sekolah ponteng pada hari Khamis dan Jumaat. Isu tersebut semakin mendapat perhatian apabila seorang Timbalan Menteri menyatakan bahawa guru yang tidak pandai mengajar menjadi punca utama peningkatan peratusan pelajar yang ponteng sekolah ini. Persoalannya, benarkah guru yang tidak pandai mengajar menjadi punca mengapa pelajar ponteng? Persoalan inilah yang akan dikupasdalam rencana ini disamping akan turut dicadangkan langkah-langkah menangani fenomena negatif ini.

Punca utama pelajar ponteng sekolah ialah kurangnya minat untuk bersekolah. Kebanyakan pelajar ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan mereka juga malas untuk membuat latihan yang diberikan oleh guru. Mereka beranggapan bahawa hadir di sekolah merupakan satu bebanan kerana terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari disamping terpaksa membuat pelbagai latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Jalan penyelesaian yang dipilih oleh mereka adalah dengan ponteng sekolah. Pelajar dalam kategori ini lazimnya keluar rumah pada waktu pagi dengan memakai pakaian sekolah yang lengkap. Malangnya, destinasi pagi mereka bukan sekolah, sebaliknya mereka berkumpul di mana-mana tempat lain untuk berseronok-seronok. Di kawasan pekan atau bandar, tempat yang menjadi tumpuan utama pelajar seperti ini adalah pusat snuker atau pusat permainan video.

Kurangnya pemantauan ibu bapa juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan anak-anak berani untuk ponteng sekolah. Sebilangan ibu bapa sibuk bekerja untuk mencari nafkah tambahan bagi anak-anak mereka sehingga mereka tidak menyedari serta mengambil tahu tentang aktiviti anak-anak mereka di luar rumah. Keadaan menjadi semakin rumit apabila sesetengah ibu bapa enggan dating ke sekolah bagi membincangkan permasalahan anak mereka. Ini menyulitkan lagi proses untuk menangani pelajar-pelajar yang bermasalah seperti ini.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah guru yang tidak pandai mengajar atau tidak menunjukkan kesungguhan di bilik darjah sehingga meembuatkkan pelajar bosan lalau ponteng sekolah. Namun bilangan guru yang bersikap seperti ini sangat kecil. Hal ini dibuktikan oleh Dt. Amirah Latif dan Dr. Adillah Syazwani Khairi, dua orang pensyarah pendidikan di Universiti Malaya dalam kajian mereka tentang punca pelajar ponteng di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang. Dalam kajian yang melibatkan 125 orang pelajar yang pernah ponteng sekolah, hanya 10 orang pelajar yang menyatakan bahawa mereka bosan dengan cara pengajaran guru. Yang lain-lain menyatakan bahawa mereka ponteng kerana kurangnya minat untuk belajar, suka mengikut kawan-kawan dan tidak kurang juga yang melakukan kerja sambilan.

Biar apapun puncanya pelajar ponteng sekolah, perkara penting yang patut difikarkan adalah cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, semakin ramai pelajar yang akan membuat keputusan untuk ponteng sekolah. Ibu bapa perlu memberikan kerjasama yang padu kepada pihak sekolah untuk mengatasi fenomena ini. Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan tanggungjawab untuk membentuk, mendidik serta mengawasi anak-anak mereka kepada pihak sekolah sepenuhnya, tetapi mereka juga harus memainkan peranan dalam mengawasi kegiatan anak mereka di luar sekolah. Jika tidak, anak-anak mereka akan menjadi tidak terkawal dan bebas untuk berkeliaran di luar sekolah.

Kesimpulannya, fenomena ponteng sekolah bukanlah satu gejala yang tidak boleh ditangani. Dengan adanya kerjasama yang kukuh dan padu daripada semua pihak, sudah pasti gejala ini akan berkurangan. Semua pihak khasnya ibu bapa, pihak sekolah, pihak PIBG, serta masyarakat sekeliling harus menggembleng tenaga dan bersatu padu untuk mengurangkan gejala ponteng sekolah ini.

bahaya dadah kepeda kita

Apabila anda merdengar ungkapan “Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan ‘hippie’ dan askar-askar Amerika yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda- pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah, kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian, tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama.
Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.
Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-29 tahun. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.
Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.
Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.
Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.

No comments:

Post a Comment